Sejarah awal Islam_di_Eropah

Eropah dilanda Zaman Kelam sebelum tiba Zaman Pembaharuan. Maksud "Zaman Kelam" ialah zaman masyarakat Eropah menghadapi kemunduran intelek dan kelembapan ilmu pengetahuan. Menurut Ensikopedia Amerikana, tempoh zaman ini selama 600 tahun, dan bermula antara zaman kejatuhan KerajaanRom dan berakhir dengan kebangkitan intelektual pada abad ke-15 Masihi.

"Gelap" juga bermaksud tiada prospek yang jelas bagi masyarakat Eropah. Keadaan ini wujud kerana tindakan dan cengkaman kuat pihak berkuasa agama; Gereja Kristian yang sangat berpengaruh. Gereja serta para paderi mengawasi pemikiran masyarakat serta juga politik. Mereka berpendapat hanya gereja sahaja yang berkelayakan untuk menentukan kehidupan, pemikiran, politik dan ilmu pengetahuan. Akibatnya kaum cendekiawan yang terdiri daripada ahli-ahli sains berasa mereka ditekan dan dikawal ketat. Pemikiran mereka ditolak. Sesiapa yang mengeluarkan teori yang bertentangan dengan pandangan gereja akan ditangkap dan didera malah ada yang dibunuh.

Dalam politik, gereja sering bersaing dengan kuasa-kuasa kerajaan. Biasanya apa yang berlaku di Eropah pada abad pertengahan itu ialah kuasa gereja lebih kuat dan ada kalanya terjadi semacam kerjasama, Thomas Aquinas (m 1274) seorang ahli falfasah zaman ini mengeluarkan teori "negara wajib tunduk kepada kehendak gereja".

St Augustine (m 430) sebelumnya juga berpendirian demikian. Manakala Dante Alighieri (1265-1321) berpendapat kedua-dua kuasa itu hendaklah masing-masing berdiri sendiri, dan mestilah bekerjasama untuk mewujudkan kebajikan bagi manusia (Joseph H Lynch, 1992, 172-174).

Diringkaskan cerita sejarah, golongan cendekiawan sentiasa memberontak terhadap pengawasan gereja tersebut. Pada abad ke-12, gerakan intelek telah mula berjalan. Cerdik pandai Eropah mula bersikap lebih berminat untuk tahu dan lebih ghairah terhadap kebudayaan bangsa Timur yang telah lama maju. Dan Timur yang dimaksudkan itu ialah Timur Tengah.

Beberapa kota besar di Timur Tengah telah menjadi kata ilmu pengetahuan seperti Iskandariah, Harran, Antiok dan Baghdad. Perbincangan akademik yang melibatkan tajuk besar seperti metafizik, perubatan, astronomi, etika, politik, fizik dan seumpamanya dibahas secara terbuka dan ilmiah. Ini bermakna sewaktu dunia Islam sudah menikmati kemajuan dan tamadun yang tinggi, Eropah masih diselimuti kegelapan dan kemunduran! Dunia telah diperlihatkan tentang betapa hebatnya perkembangan intelektual dan ilmu pengetahuan di dunia Islam antara kurun ke-9 hingga ke-12.

Sewaktu pemerintahan khalifah-khalifah Abbasiyah yang masyhur — al-Mansur (754-775), Harun al-Rashid (786-809) dan al-Makmun (813-833) — wilayah-wilayah Islam khasnya di Baghdad telah disuburkan dengan kemunculan ahli-ahli fikir besar seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, al-Biruni, Ibnu Miskawayh, al-Razi, al-Khawarizmi, Ibnu Haitham, Ibnu Rusyd, Ibnu Bajjah, Ibnu Masarrah, Ibnu Tufail, dan Ibnu Khaldun. Mereka menjadi pemikir-pemikir dalam bidang-bidang falsafah, metafizik, fizik, matematik, etik, politik, psikologi, perubatan, geografi, astronomi, kimia, optik, dan muzik. Sebuah institusi bernama Baitul-Hikmat telah secara langsung membantu operasi ilmiah ini dengan jayanya.